JUJUR DALAM BERBICARA , BIAR KLIEN MEMILIH DENGAN HATI YANG TERBUKA
Sudah lama rasanya saya tidak duduk berhadapan dengan prospek klien untuk berbincang secara bersemuka. Maklumlah, zaman sekarang semuanya di hujung jari. Nak berhubung, nak berbincang, nak buat penerangan, semuanya boleh dilakukan secara online. Tak perlu lagi bersusah payah mencari masa untuk berjumpa.
Namun, baru-baru ini saya berpeluang bertemu seorang prospek klien yang memang meminta untuk berjumpa secara berdepan.
Tujuannya mudah. Beliau sudah mempunyai polisi dengan sebuah syarikat insurans lain dan mahu saya membantu membaca, memahami serta membuat perbandingan dengan tawaran daripada Zurich Takaful.
Alhamdulillah, dengan pengalaman selama 12 tahun dalam industri ini, saya dapat duduk dengan tenang dan menerangkan satu demi satu. Apa yang ada dalam polisi sedia ada, apa yang tiada, apa kelebihannya dan di mana pula kekurangannya jika dibandingkan dengan pelan yang ditawarkan oleh Zurich Takaful.
Bagi saya, kerja ini bukan sekadar menjual pelan perlindungan.
Saya ada satu prinsip yang saya pegang sampai sekarang. Kalau ada, saya cakap ada. Kalau tak ada, saya cakap tak ada. Kalau sesuatu itu baik, saya terangkan kebaikannya. Kalau ada perkara yang kurang baik atau perlu diberi perhatian, saya tetap akan ceritakan.
Saya tak mahu semuanya nampak manis hanya kerana mahu mendapatkan persetujuan klien.
Sebab saya tahu, hari ini mungkin klien hanya mendengar penerangan kita. Tetapi suatu hari nanti, apabila berlaku sesuatu dan tiba masa untuk membuat tuntutan, barulah segala perkara yang kita terangkan dahulu akan benar-benar diuji.
Saya tak mahu suatu hari nanti klien berkata,
“Masa jumpa dulu, agen ni semua cakap manis-manis sahaja. Bila nak claim, lain pula ceritanya.”
Itulah perkara yang saya cuba elakkan.
Biar semasa pertemuan, kita ceritakan juga bahagian yang pahit. Biar klien faham betul-betul sebelum membuat keputusan. Akhirnya, keputusan itu biarlah datang daripada kefahaman mereka sendiri, bukan kerana terpengaruh dengan kata-kata manis seorang agen.
Menariknya, pertemuan yang pada asalnya hanya untuk membincangkan polisi perlindungan akhirnya membawa kepada satu perkara yang saya sendiri tidak jangka.
Prospek klien tersebut mula berminat untuk menjadi agen pula!
Jadi, pertemuan yang sepatutnya sekejap akhirnya berlanjutan hampir tiga jam. Rupanya, nak menerangkan tentang peluang menjadi agen dan perjalanan dalam industri Takaful lebih panjang ceritanya daripada menerangkan pelan perlindungan tadi.
Tak mengapalah. Alhamdulillah, itu juga satu perkembangan yang baik.
Memang sudah tiba masanya kita membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak muda untuk bersama-sama membina kerjaya dalam industri ini. Kami yang sudah agak lama berada dalam industri, perlahan-lahan bolehlah berundur setapak ke belakang untuk memberi peluang kepada generasi baharu melangkah ke hadapan.
Bukan bermakna kita berhenti, tetapi sudah sampai masanya pengalaman yang ada dikongsi supaya lebih ramai anak muda dapat meneruskan perjuangan ini.
Buat semua agen, sama ada yang baru bermula ataupun yang sudah lama berada dalam industri, saya cuma nak pesan satu perkara.
Berceritalah dengan jujur.
Jangan hanya ceritakan yang baik-baik. Ceritakan juga perkara yang kurang baik. Jangan sembunyikan kekurangan sesuatu pelan semata-mata kerana takut klien tidak mahu mengambilnya.
Kita buat penerangan sebaik mungkin. Selebihnya, biarlah Allah yang membuka hati mereka untuk menerima.
Jangan terlalu takut kalau klien tidak memilih kita. Jangan terlalu risau kalau hari ini belum ada rezeki. Manusia hanya mampu merancang dan berusaha, tetapi soal rezeki itu tetap dalam ketentuan Allah.
Klien yang datang kepada kita hanyalah asbab. Begitu juga pertemuan, perbincangan dan setiap peluang yang hadir.
Yang penting, kita jalankan amanah dengan sebaik-baiknya.
Apabila kita sudah bercakap dengan jujur, menerangkan dengan jelas dan tidak menyembunyikan apa-apa, hati pun jadi lebih tenang.
Tak perlu nak cover sana sini. Tak perlu nak berpura-pura semuanya sempurna.
Kerana dalam industri perlindungan ini, kepercayaan jauh lebih bernilai daripada sekadar mendapatkan satu jualan.
Alhamdulillah untuk setiap pertemuan, setiap pengalaman dan setiap rezeki yang Allah hadirkan.
YS ELITE LEGACY
Your Ultimate Protection Destination

